Isnin, 27 Julai 2009

Pantun lama ( Da Antik )

Masyarakat Melayu tak kira di mana berada, adat resam dan budaya tak pernah dilupakan. Begitulah juga dalam nyanyian dan bidalan yang menggunakan pantun sebagai penghantarnya. Pantun dalam budaya Melayu berkembang subur dari generasi ke generasi disampaikan secara lisan mahu pun bertulis. Namun demikian, pantun kini semakin hilang harumannya apabila pelbagai media baru wujud.

Zaman saya kecil dulu, datuk dan nenek saya sering mengalunkan pantun bila duduk berehat di serambi pada waktu petang. Sebab itu lah pantun masih lagi berjiwa di hati saya. Anak-anak saya ketika kecil saya juga ada mendendangkan pantun kepada mereka tapi tak lah sekerap nenek dan datuk dendangkan di halwa telinga saya pada waktu itu. Untungnya dalam pembelajaran Bahasa Malaysia, pantun juga diselitkan sebab itu lah anak-anak saya juga tahu berpantun walau pun mereka tidak boleh berpantun secara sepontan.

Semut api-api
topi bulu-bulu,
atok tembak sapi
seratus lima pulu

Sorong papan tarik papan
buah keranji dalam perahu,
suruh makan adik makan
suruh mengaji adik tak tahu

Cukup seronok mengenangkan bait-bait pantun lama. Sebenarnya banyak pantun lama yang nenek dan atok dendangkan tapi banyak yang saya dah tak ingat. Apa pun pantun biasanya didendangkan mengikut suasana atau majlis. Ada pantun yang memberi nasihat untuk anak-anak, ada pula pantun yang berbentuk gurauan hatta pantun cinta kasih pun ada.

Masak sayur si sayur jantung
bumbunya ketumbar muda,
biar mati ditali gantung
asal puas berahi muda

Dua tiga kucing berlari
mana sama si kucing belang,
dua tiga boleh ku cari
mana sama adik seorang

Bicara mengenai pantun sepontan, bukan semua orang boleh buat. Alhamdulillah, saya boleh berjual beli pantun secara sepontan. Cuma saya gubah atau karang pantun sendiri sama ada saya yang menjualnya atau saya yang membelinya. Semasa kecil dulu atok saudara saya sering mendendangkan pantun semasa saya mengikuti pergi kebun. Saya jalan dia pantun, saya jatuh dia pantun. Bila da kerap tu, maka berjangkit kat saya pula. Tak apa kalau benda baik kan.

Bagi saya pantun lama tak boleh dipisahkan dengan jiwa Melayu saya. Anak-anak dan makin membesar. Sekali sekala saya mendendangkan pantun lama dengan anak bungsu saya dan anak saudara saya yang masih kecil. Sekurang-kurangnya mereka tau serba sedikit adat resam dan budaya bangsanya.

Tiada ulasan: